Jumaat, 21 Jun 2013

Review Novel 4 : VT

Assalamu'alaikum dan salam sejahtera

Hari ini dengan rasa bersemangat saya cuba review novel VT pula. Untuk yang tidak tahu VT bermaksud volleyball team.

Sinopsis belakang novel :
Sepuluh tahun selepas mencipta fenomena - menewaskan juara terkenal, SSNP, pasukan bola tampar MATRI tenat dan hampir dibubarkan, hinggalah datang Hussam, jurulatih misteri.

Hussam menggalas cabaran 'merawat' 12 pemain yang pelbagai masalah dan ego. Hussam yang tahu rahsia Cigu Senan, yang meletakkan Aril dan pemain-pemain SSNP lain di kedudukan tanpa saingan. Hussam jugalah yang tahu potensi sebenar Asyraf, anak muda berdarah panas yang sedang dijinakkan.

Siapa sebenarnya Hussam? Mampukah Hussam membawa Asyraf dan 'pemain-pemain sampah' MATRI mencalarkan rekod 25-0  SSNP lima tahun berturut-turut? Dapatkah Hussam menggunakan formula Islam untuk membawa angin baru ke dalam Avant Garde, pasukan tenat yang sedang dipulihkannya? Bagaimana Hussam menangani konflik Asyraf dan bapanya, konflik Asyraf dan Aril, serta konfliknya sendiri dengan Cikgu Senan di luar gelanggang?

Di tangan Hussam, setiap taktik dan strategi adalah rahsia dan ada kejutan!


Review saya :
 Disebabkan sinopsis belakang novel telah menceritakan serba sedikit, maka saya akan review daripada sudut lain . Pertama, bagi saya pemilihan watak bersesuaian dengan realiti kumpulan bola tampar Ma’had Attarbiyyah Al-Islamiah Perlis (MATRI), dan kesemua watak yang dipaparkan di dalam novel ini adalah watak sebenar di dalam pasukan bola tampar tersebut. Lihat beberapa nama yang diambil sebagai watak- watak di dalam novel tersebut, seperti watak Zulkarnain, Farhan, Abdul Qahar, Ustaz Saiful Rahman, Ustaz Mahadzir, dan sebagainya. Mereka ini adalah pelajar- pelajar asal MATRI yang bermain untuk pasukan bola tampar sekolah tersebut dan secara kebetulan pasukan mereka menjulang trofi utama kejohanan bola tampar Majlis Sukan Sekolah- Sekolah Perlis (MSSP’S) untuk 2008.

Selain itu, plot yang disusun sepanjang penceritaan novel ini, ditumpukan dengan bebrapa kaedah, antaranya imbas kembali, seperti watak Asyraf yang mengimbas kembalik detik- detik kemerosotan sukan bola tampar di sekolah tersebut, selain dialog Ustaz Saiful yang mengimbas kembali semua taktik kotor Cikgu Senan di dalam karier beliau.
Pemilihan latar juga merupakan satu ciri penting di dalam menghasilkan sesuatu karya yang bersifat realiti, contohnya pemilihan tempoh persekolahan dari awal semester pertama (Januari) sehingga akhir cuti persekolah semester tersebut (akhir Mei- awal Jun), di samping pemilihan waktu kejohanan di pertengahan bulan Mei. Selain itu, penulis mengambil contoh beberapa tempat sebagaai rujukan latar ,misalnya pemilihan Perkampungan Tunjong, Beseri Perlis; di samping beberapa nama kampus di wilyah tengah dan selatan semenanjung, iaitu UIAM, USIM, KOUITHO, dan UTM. Manakala suasana masyarakat yang digambarkan di dalam novel ini digambarkan sebagai kumpulan pelajar yang menuntut di MATRI, Sekolah Sukan Negeri Perlis (SSNP), dan beberapa latar masyarakat penuntut institut pengajian tinggi (IPT).
Dari sudut gaya bahasa, penulis novel menggunakan langgam bahasa santai, yang tidak memberatkan pembaca untuk memahami apa yang digarap oleh penulis di dalam karya beliau, selain itu, penggunaan teknik dialog dan monolog diseimbangkan supaya pembaca tidak cepat bosan di dalam membaca dan menghayati novel tersebut. Setiap hujung bab di dalam novel itu ditutup dengan teknik saspen, supaya pembaca tertanya-tanya apakah kesudahan setiap bab tersebut.
Sebagai kesimpulannya, novel ini merupakan satu percubaan Hilal Asyraf yang mampu menarik golongan remaja untuk membaca dan membelinya. Novel ini juga boleh dikatakan mampu untuk menandingi kehebatan novel pop-islam yang terkenal seperti Ayat- Ayat Cinta, Ketika Cinta Bertasbih dan sebagainya. Mungkin inilah masanya untuk kita mengubah selera pembacaan kita daripada novel- novel pop-islami dan picisan kepada karya berunsur islam keseluruhannya.
Sekian, terima kasih

Tiada ulasan: