Sabtu, 3 November 2012

Apa Itu Sifat-sifat Mazmumah

Assalamu'alaikum dan salam sejahtera

    Saya rasa ramai yang tidak tahu apa itu sifat-sifat mazmumah dalam kehidupan  dan di sini saya ada 10 sifat mazmumah yang ingin saya kongsikan. A.rtikel ini dipetik daripada DARA.COM keluaran November2006.

   1. Banyak makan
  •  Makan dan minum yang berlebih-lebihan itu menyebabkan seseorang itu malas dan lemah serta membawa kepada banyak tidur. Ini menyebabkan kita lalai daripada menunaikan ibadah dan zikrullah.
  2. Banyak bercakap
  • Banyak berkata-kata itu boleh membawa kepada banyak salah, dan banyak salah membawa kepada banyak dosa serta menyebabkan orang yang mendengar itu mudah merasa jemu.
  3. Pemarah
  • Iaitu marah yang bukan pada menyeru kebaikan atau menegah daripada kejahatan.
  • Sifat pemarah adalah senjata bagi menjaga hak dan kebenaran. Oleh kerana itu, seseorang yang tidak mempunyai sifat pemarah akan dizalimi dan dicerobohi hak-haknya.
  • Sifat pemarah yang dicela ialah marah yang bukan pada tempatnya dan tidak dengan sesuatu sebab yang benar.
  4.Hasad dengki
  • Iaitu menginginkan nikmat yang diperolehi oleh orang lain hilang atau berpindah padanya.
  • Seseorang yang bersifat dengki tidak ingin melihat orang lain mendapat nikmat atau tidak ingin melihat orang lain menyerupai atau lebih daripadanya dalam sesuatu perkara yang baik. Orang yang bersifat demikian seolah-olah membangkang Allah S.W.T kerana mengurniakan sesuatu nikmat kepada orang lain.   
  • Orang yang berperangai seperti itu juga sentiasa dalam keadaan berdukacita dan iri hati kepada orang lain yang akhirnya menimbulkan fitnah dan  hasutan yang membawa kepada bencana dan kerosakan.
  5. Kedekut
  • Iaitu menahan haknya daripada dibelanjakan atau digunakan kepada jalan yang dituntut oleh agama.
  • Nikmat yang dikurniakan oleh Allah S.W.T kepada seseorang itu merupakan sebagai alat untuk membantu dirinya dan juga membantu orang lain. Oleh yang demikian, nikmat dan pemberian Allah menjadi sia-sia sekiranya tidak digunakan dan dibelanjakan sebagaimana yang dikehendaki  oleh Allah S.W.T.
  • Lebih-lebih lagi dalam perkara-perkara yang menyempurnakan agama seperti zakat, mengerjakan haji dan memberi nafkah kepada tanggungan, maka menahan hak atau harta tersebut adalah suatu kesalahan besar di sisi agama.
  6. Kasihkan Kemegahan
  • Perasaan inginkan kemegahan dan pangkat kebesaran menjadikan perbuatan seseorang itu tidak ikhlas kerana Allah.
  • Akibat daripada sifat tersebut boleh membawa kepada tipu helah sesama manusia dan boleh menyebabkan seseorang itu membelakangkan kebenaran kerana menjaa pangkat dan kebesaran.
  7. Kasihkan Dunia
  • Iaitu mencintai perkara-perkara yang berbentuk keduniaan yan tidak membawa sebarang kebajikan di akhirat. 
  • Banyak perkara yang diingini oleh manusia yang terdiri daripada kesenangan dan kemewahan. Di antara perkara-perkara tersebut ada perkara-perkara yang tidak dituntut oleh agama dan tidak menjadi kebajikan di akhirat.
  • Oleh yang demikian, kasihkan dunia itu adalah mengutamakan perkara-perkara tersebut sehingga membawa kepada lalai hatinya daripada menunaikan kewajipan-kewajipan kepada Allah.
  • Namun begitu, menjadikan dunia sebagai jalan untuk menuju keredhaan Allah bukanlah satu kesalahan.
  8. Sombong 
  • Iaitu membesarkan diri atau berkelakuan sombong dan bongkak.
  • Orang yang takbur itu memandang dirinya lebih mulia dan lebih tinggi pangkatnya daripada orang lain serta memandang orang lain itu hina dan rendah pangkatnya.
  • Sifat takbur ini tiada sebarang faedah malah membawa kepada kebencian Allah dan juga manusia dan kadangkala membawa kepada keluar daripada agama kerana enggan tunduk kepada kebenaran.
  9. Bangga diri
  • Iaitu merasai atau menyangka dirinya lebih sempurna.
  • Orang yang bersifat 'ujub' adalah orang yang timbul di dalam hatinya sangkaan bahawa dia adalah seorang yang lebih sempurna dari segi pelajarannya, amalannya, kekayaannya atau sebagainya dan ia menyangka bahawa orang lain tidak berupaya melakukan sebagaimana yang dia lakukan.
  • Dengan itu, maka timbullah perasaaan menghina dan memperkecil-kecilkan orang lain dan lupa bahawa iap-tiap sesuatu itu ada kelebihannya.
  10. Menunjuk-nunjuk
  • Setiap amalan yang dilakukan dengan tujuan menunjuk-nunjuk akan hilanglah keikhlasan dan menyimpang dari tujuan asal untuk beribah kepada Allah semata-mata.
  • Orang yang riak adalah sia-sia segala amalannya kerana niatnya telah menyipang disebabkan inginkan pujian daripada manusia.
Sumber : Majalah Dara.com, Edisi November 2006

Sekian, terima kasih

Tiada ulasan: